Wednesday, March 18, 2009

Tanah Aina - An Introduction

Tanah Aina is the only non-profit organization n Malaysia that have been established dedicated to buy land cover by forests, streams or rivers, with the intention to preserve instead of sacrificing them for future development. Tanah Aina was solely funded by Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, who is a proud Malaysian environmentalist that have given her heart and soul to love and appreciate the mother nature and saving the natural environment from being destroyed. She want to preserve them for the future generation. With her love and effort, Tanah Aina was created and able to preserve the only untouched streams and rivers in Raub, Pahang with the promising hope that her next generation will continue preserving more and more forests and streams that someday in the future might not be exist if her effort is been discontinued.

Tanah Aina is located in three different locations, which are 8 Acres and 12 Acres (both located in Raub) and Lentang (located in Bentong) where all three locations have its different purpose in preserving the nature.

Wednesday, March 11, 2009

Sungai Jarak dicemari najis babi

Utusan Malaysia - Utara - 7/11/2008

TASEK GELUGOR 6 Nov. - Sungai Jarak yang merentasi beberapa kampung di sekitar daerah ini, kini diancam pencemaran serius akibat pembuangan sisa kumbahan najis babi yang dipercayai datang dari ladang ternakan itu di Kampung Selamat di sini.

Antara kampung yang paling teruk terjejas berikutan pencemaran sungai itu ialah Kampung Air Melintas Besar, Pokok Machang, Tok Bedu, Pokok Tampang, Lahar Tambun dan Lahar Yooi.

Penduduk kampung mendakwa pengurusan najis ternakan yang tidak efektif di ladang berkenaan menjadi punca pencemaran itu apabila najis babi dibuang terus dalam sungai.

Akibatnya, bukan sahaja aliran sungai berkenaan di beberapa kampung menjadi hitam pekat dengan bau yang meloyakan, malah turut mengancam kesihatan penduduk.

Penduduk Kampung Air Melintas Besar, Musa Idris, 66, mendakwa tahap pencemaran di sungai berkenaan semakin membimbangkan kebelakangan selepas masalah itu berlarutan selama hampir 30 tahun.

''Kami bimbang masalah ini jika tidak dibendung akan mengakibatkan sungai tersebut terus mengalami pencemaran lebih teruk pada masa depan.

''Sekarang ini sudah ada penduduk terutamanya kanak-kanak yang mengalami gatal-gatal dan bintik-bintik kecil di badan apabila mandi di sungai," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Musa memberitahu, tompokan najis serta aliran air berwarna hitam boleh dilihat di sungai hampir setiap hari dan menyebabkan bau busuk sekali gus mengganggu keselesaan penduduk.

Yaakob Othman, 35, dari Kampung Air Melintas Kecil pula berkata, sungai tersebut pernah menjadi tempat rekreasi penduduk kampung untuk bermandi-manda tetapi kini tiada siapa lagi sanggup beriadah di sungai itu.

Malah, katanya, dulu pelbagai jenis ikan ada dalam sungai tersebut tetapi sekarang penduduk tempatan tidak berminat lagi untuk memancing ikan.

''Apa tidaknya, air sungai pun bukan sahaja tidak boleh dijadikan air minuman tetapi sudah berbau busuk dan tidak sesuai untuk bermandi-manda seperti sebelum ini," katanya.

Menurutnya, masalah tersebut sudah lama diajukan kepada pihak berkenaan tetapi sehingga kini tidak ada sebarang tindakan yang diambil.

Yaakob berkata, penternak haiwan tersebut sepatutnya menyediakan sistem pengurusan najis ternakan yang lebih efektif bagi memastikan pencemaran sungai berkenaan dapat dibendung.

Krisis bekalan air seawal 2010

Utusan Malaysia - Kota - 14/11/2008

KAJANG 13 Nov. - Pencemaran sungai yang semakin membimbangkan sejak akhir- akhir ini dijangka akan membawa negara khususnya Selangor ke arah krisis bekalan air yang serius seawal tahun 2010.

Mengikut kajian Bahagian Penyelidikan Puncak Niaga Sdn. Bhd. (PNSB), keadaan itu akan menyebabkan pihak pembekal air berhadapan dengan tekanan tinggi untuk merawat air bagi menampung permintaan.

Selain itu, perubahan cuaca dunia juga dilihat turut menjadi penyumbang yang akan mempercepatkan lagi krisis bekalan air di negara ini.

Pada masa yang sama, penggunaan air di kalangan rakyat Malaysia yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini menambahkan lagi tekanan tersebut.

Purata penggunaan air individu di Malaysia adalah 300 liter sehari, melebihi 50 liter daripada jumlah yang disarankan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pengerusi Eksekutif PNSB, Tan Sri Rozali Ismail berkata, jumlah itu sememangnya tinggi berbanding negara-negara lain dan beliau berharap lebihan itu dimanfaatkan dengan bijak agar tidak berlaku sebarang pembaziran.

"Pembaziran akan mengakibatkan pertambahan jumlah air sisa yang disalurkan melalui longkang, seterusnya mengalir ke sungai dan ia merupakan salah satu faktor penyumbang kepada pencemaran sungai di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis perasmian Program Briged Penyelamat Sungai (BPS) ke-23 di Loji Pembersihan Air Batu 11 Cheras di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Urusan PNSB, Datuk Matlasa Hitam.

Pemerhatian

Sementara itu, berdasarkan rekod PNSB, jumlah kes pelanggaran kualiti air juga meningkat sebanyak 212 kes kepada 1,008 kes pada tahun lalu berbanding 796 kes pada tahun 2005.

Jelas Rozali, antara unsur pelanggaran itu termasuk kekeruhan air, warna, nilai pH air, kandungan ammonia dan nitrat sehingga menyebabkan pihak PNSB terpaksa menghentikan operasi loji sebanyak 277 kali pada tahun lalu serta terpaksa menanggung kerugian pengeluaran sebanyak RM952,241.

"Untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sahaja, PNSB mencatatkan sebanyak 977 kes pelanggaran kualiti air mentah dan daripada jumlah itu, terdapat 177 kes yang membawa kepada penghentian operasi loji sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM119,090," katanya.

Beliau berkata, atas kesedaran dan rasa tanggungjawab korporat, PNSB telah menubuhkan unit alam sekitarnya untuk mengawasi kualiti air mentah di kawasan tadahan air di sekitar Selangor.

"Dengan tertubuhnya unit ini, maklumat kes-kes pencemaran yang berjaya dikesan akan disampaikan terus kepada Jabatan Alam Sekitar untuk tindakan selanjutnya.

"Walaupun PNSB hanya diberikan konsesi untuk merawat air mentah yang diambil dari sungai tetapi tanggungjawab bersama membuatkan kami terpanggil untuk memantau bersama setiap pencemaran yang dilakukan di negara ini," katanya.

Tambahnya, selaras dengan pembangunan yang pesat di negara ini, PNSB merancang untuk menambah bekalan air mentah di bawah skim pembangunan sumber air yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan.

"Beberapa kolam tadahan air telah dibina sebagai langkah untuk menampung lebihan air hujan sebagai satu cara untuk mempelbagaikan sumber air mentah di negara ini.

"Kami juga sedang meningkatkan keupayaan teknologi pemprosesan air kami untuk membolehkan kami menjana lebih sumber air mentah juga meningkatkan penyelidikan serta pembangunan syarikat melalui kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia dan Pusat Penyelidikan Air Denmark, DHI Water Environment Health," katanya.

Bimbang kilang pasir cemari Loji Air Chinchin

Utusan Malaysia - Selatan - 3/1/2009

JASIN 2 Jan. – Penduduk Kampung Nyalas dan Chinchin di sini bakal berdepan dengan kemungkinan mendapat bekalan air tercemar daripada Loji Air Chinchin di sini apabila Sungai Chohong dan Nyalas dicemari sisa lumpur ekoran kerja-kerja melombong pasir yang dijalankan dekat kawasan itu.


Mimpi buruk penduduk di kawasan itu dijangka berlaku pada bila-bila masa jika pihak berkuasa tidak mengambil tindakan segera menghentikan operasi melombong pasir di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Gapis, Nyalas iaitu lokasi berhampiran dengan dua sungai tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia ke tapak operasi kilang pasir berkenaan mendapati kilang tersebut tidak menyediakan kolam memproses pasir bagi membolehkan sisa lumpur disalurkan ke dalam kolam itu.

Sebaliknya, sisa lumpur itu terus dibuang ke dalam sungai tersebut.

Sisa lumpur tersebut kemudian mengalir di sepanjang Sungai Chohong dan memasuki Sungai Nyalas yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari lokasi kilang berkenaan.

Beberapa penduduk yang ditemui mendakwa, kilang berkenaan telah beroperasi sejak enam bulan lalu dan mereka juga telah membuat laporan polis kerana bimbang dengan pencemaran sungai tersebut.

Salah seorang penduduk, Tan Sie Hong, 52, berkata, kilang terbabit bukan sahaja mencemarkan kualiti air sungai malah beroperasi tanpa permit kerana gagal memenuhi syarat peraturan alam sekitar yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

‘‘Saya diberitahu bahawa kilang itu sudah memohon permit melombong pasir di kawasan ini namun belum mendapat kelulusan pihak berkuasa kerana tidak menyediakan kolam takungan sisa pasir yang sepatutnya.

‘‘Ia termasuk menyediakan kolam membilas pasir bagi membolehkan sisa lumpur yang terhasil daripada proses bilasan pasir tidak dibuang ke dalam sungai tetapi sehingga hari ini, saya dapati mereka meneruskan sahaja operasi melombong biarpun tiada kebenaran pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sie Hong yang juga pemilik ladang kelapa sawit yang terletak bersebelahan dengan kilang pasir berkenaan mendakwa tindakan tersebut menyebabkan air Sungai Chohong menjadi keruh dan berlumpur.

‘‘Apa yang menyedihkan, kedua-dua sungai ini membekalkan air mentah ke Loji Air Nyalas yang menampung keperluan hampir sebahagian penduduk Jasin khususnya penduduk kampung di sekitarnya,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Ee Geok Yan, 35, berkata, dia meminta isu tersebut diselesaikan segera kerana ia bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan penduduk malah menyebabkan air pada kedua-dua sungai berkenaan tercemar.

‘‘Jika air sungai ini tercemar, sudah pasti ia turut menjejaskan kualiti air loji tersebut.

‘‘Perkara ini perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa yang terbabit kerana ia melibatkan tahap kesihatan penduduk di kawasan ini terutama mereka yang bergantung hidup pada bekalan air dari loji berkenaan,” ujarnya.

Usaha selamatkan Hutan Temenggor

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
(WARTAWAN UTUSAN)

24/11/2008

DUA ekspedisi menjejak khazanah flora dan fauna yang dijalankan oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) di Hutan Belum-Temenggor pada 1993/1994 dan 1998, berjaya merekodkan pelbagai spesies unik yang sebahagian besarnya hanya boleh ditemui di hutan berusia 130 juta tahun itu.

Antaranya kira-kira 3,000 spesies tumbuhan berbunga yang sebahagian besarnya endemik iaitu hanya boleh ditemui di Hutan Belum-Temenggor, 46 spesies palma (15 spesies endemik), lebih 30 spesies halia serta pelbagai famili orkid hutan.

Turut direkodkan ialah lebih 1,000 spesies mamalia termasuk gajah ASEAN, harimau Malaysia, harimau kumbang, seladang, beruang matahari, badak sumbu Sumatera dan tapir Malaysia.

Hutan Belum-Temenggor seluas 320,000 hektar itu juga merupakan habitat kepada lebih 274 spesies burung menjadikannya hamparan hutan semula jadi terbesar yang menyimpan khazanah flora dan fauna unik negara.

Kesungguhan MNS memperkenalkan khazanah berharga negara yang tersimpan di Hutan Belum-Temenggor itu juga, berjaya mendapat kelulusan kerajaan Perak untuk mewartakannya sebagai Taman Negeri pada Mac 2000, diikuti pengiktirafan daripada Sultan Azlan Shah, yang memasyhurkannya sebagai Hutan Diraja Belum pada Ogos 2003.

Kerana kesungguhan MNS itu juga, pertubuhan yang kini berusia 68 tahun tersebut diberikan penghormatan yang cukup besar apabila terpilih sebagai penerima sulung Anugerah Merdeka bagi kategori Alam Sekitar daripada tiga syarikat gergasi minyak dan gas iaitu Petronas, Exxonmobil dan Shell. Majlis penyampaian Anugerah Merdeka akan berlangsung malam ini.

Tidak menganggap Anugerah Merdeka sebagai pencapaian peribadi, Pengarah Eksekutif MNS, Dr. Loh Chi Leong, sebaliknya berkata, adalah milik seluruh rakyat Malaysia yang bersama MNS berjuang mempertahankan khazanah alam sekitar milik negara, terutama Hutan Belum-Temenggor.

Anugerah berprestij itu juga tambah beliau, merupakan satu suntikan semangat buat MNS yang kini dalam usaha melindungi sebahagian lagi daripada kompleks Hutan Belum-Temenggor sehingga berjaya diwartakan sebagai hutan simpan.

Hakikatnya dalam Kompleks Hutan Belum-Temenggor, bahagian Hutan Temenggor yang dipisahkan dengan Hutan Belum oleh Lebuh Raya Timur-Barat adalah lebih luas iaitu mencakupi kawasan kira-kira 202,500 hektar.

Justeru, Hutan Temenggor memainkan peranan yang penting kepada aktiviti interaksi, migrasi dan hubungan di antara spesies flora dan fauna dalam jajaran kompleks hutan semula jadi Belum-Temenggor itu yang turut bersambungan sehingga ke banjaran hutan di Thailand.

Ketika ini, MNS sudah menggerakkan beberapa usaha penting bagi memastikan Hutan Temenggor mendapat perlindungan sewajarnya termasuk ekspedisi menjejak dan merekodkan spesies burung enggang atau Hornbill Malaysia.

Ekspedisi yang masih berjalan sehingga kini itu turut membabitkan penglibatan orang ramai termasuk pelajar-pelajar sekolah dan pihak swasta yang bersama-sama menjejak dan merekodkan spesies burung berkenaan.

''Penglibatan orang ramai itu menepati pendekatan MNS sendiri yang mahu menyemai kesedaran dan kecintaan terhadap alam sekitar dengan lebih dekat di kalangan rakyat Malaysia iaitu menerusi pengalaman yang dikutip sendiri," katanya.

Sesuatu yang menarik dalam ekspedisi menjejak burung enggang itu ialah Hutan Temenggor merupakan satu-satunya habitat yang boleh ditemui kesemua 10 spesies burung enggang yang terdapat di negara ini.

Malah, di Sarawak sendiri yang mengangkat burung enggang sebagai salah satu elemen keunikan negeri Bumi Kenyalang itu, hanya lapan spesies burung itu sahaja yang mendiami hutan di sana.

Menjadikan Hutan Temenggor sebagai habitat unik kepada spesies itu juga apabila ia merupakan satu-satunya hutan di dunia yang mana burung enggang dapat ditemui berterbangan dalam kumpulan yang besar.

Sepanjang ekspedisi yang dijalankan seperti yang diberitahu Chi Leong, MNS pernah melihat kawanan lebih 3,000 ekor burung enggang terbang dalam satu kumpulan yang sama bermigrasi antara Hutan Belum dan Hutan Temenggor.

Dalam ekspedisi menjejak burung enggang itu, antara maklumat utama yang dikumpulkan oleh MNS adalah kawasan-kawasan spesies burung itu membuat sarang, membiak dan mencari makan.

Antara penelitian penting yang direkodkan ialah lebih separuh daripada burung enggang itu bersarang dan membiak di bahagian Hutan Belum tetapi terbang mencari makan di bahagian Hutan Temenggor.

''Justeru, adalah sesuatu yang penting untuk Hutan Temenggor yang menjadi kawasan mencari makanan bagi spesies enggang itu dipelihara bagi memastikan survival spesies haiwan istimewa tersebut di negara ini," jelas Chi Leong.

Kepentingan migrasi haiwan antara Hutan Belum dan Hutan Temenggor itu juga menyebabkan MNS dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain bersatu menyuarakan kebimbangan terhadap rancangan projek pertanian seluas kira-kira tiga kilometer di kiri dan kanan Lebuh Raya Timur-Barat.

Kawasan hutan yang dikeluarkan daripada Kompleks Hutan Belum-Temenggor sebagai hutan kerajaan negeri itu akan dibangunkan dengan projek pertanian seperti tanaman kelapa sawit sekali gus memisahkan kedua-dua belah hutan dengan lebih jauh.

Justeru, MNS merayu supaya projek pertanian itu tidak diteruskan atau sekurang-kurangnya dibangunkan mengikut zon-zon tertentu yang masih membenarkan migrasi haiwan dengan mudah.

Meskipun kedua-dua hutan itu ketika ini sudah sedia terpisah oleh lebuh raya tersebut, namun migrasi beberapa spesies haiwan seperti gajah masih berlaku seperti yang dapat disaksikan oleh pengguna jalan raya.

''Malah, dari satu sudut, migrasi itu sebenarnya boleh menjadi tarikan pelancongan seperti di India misalnya, yang mana orang ramai boleh melihat haiwan seperti gajah melintasi jalan raya untuk bermigrasi secara langsung," katanya.

Dalam usaha sama, MNS juga turut bergabung dengan Pulau Banding Foundation bersama beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) berteraskan alam sekitar dan saintis di universiti dalam mencadangkan kepada kerajaan untuk tampil dengan satu pelan pengurusan bersepadu dalam menguruskan Hutan Temenggor.

Pelan pengurusan bersepadu itu antara lain bertujuan mengenal pasti kawasan yang boleh diguna untuk tujuan pembalakan dan kawasan sensitif alam sekitar yang sewajarnya dipelihara kerana kepentingannya kepada ekosistem.

Kawasan-kawasan itu termasuk paya air masin yang menjadi lokasi tumpuan kebanyakan spesies haiwan sebagai sumber garam dan mineral semula jadi, selain kawasan yang dilihat berpotensi untuk dibangunkan sebagai tapak pelancongan eko.

Seperkara yang turut ditekankan dalam pelan pengurusan bersepadu itu ialah kepentingan menjalankan aktiviti pembalakan secara mampan iaitu dengan jaminan perlindungan sepenuhnya terhadap alam sekitar.

Tidak menafikan aktiviti pembalakan merupakan salah satu cabang ekonomi penting kepada pembangunan negara, namun ia perlu dijalankan dengan penuh rasa tanggungjawab dan meletakkan kepentingan alam sekitar di kedudukan paling atas yang perlu diberi perhatian.

Ini kerana apa yang diperhatikan ketika ini, aktiviti pembalakan di Hutan Temenggor dijalankan dengan mengabaikan perlindungan alam sekitar antaranya dilakukan dalam lingkungan 100 meter dari sungai.

Malah, terdapat juga aktiviti pembalakan haram yang sangat hampir dengan sungai serta di kawasan lereng bukit menyebabkan berlakunya mendapan dan pencemaran sungai sekali gus mengancam spesies ikan yang dilindungi seperti kelah dan sebagainya.

Ketika ditanya apakah yang bakal dilakukan dengan hadiah kemenangan wang tunai berjumlah RM500,000, Chi Leong berkata, ia satu suntikan modal yang cukup besar buat MNS dalam menggerakkan aktiviti, program dan kempen mengenai kesedaran alam sekitar.

Antaranya ialah memperluaskan aktiviti kelab pencinta alam di sekolah serta pusat pendidikan alam sekitar di seluruh negara selain projek perlindungan biodiversiti dan tanah lembap di Malaysia yang dijalankan dengan kerjasama kerajaan.

''Lebih utama, peruntukkan itu akan digunakan khusus untuk Hutan Temenggor terutamanya dalam membawa orang ramai melihat sendiri keunikan dan keindahan hutan itu untuk dicintai oleh setiap rakyat Malaysia," tambah beliau.

Pembalakan haram: 4 kakitangan jabatan hutan ditahan BPR

Utusan Malaysia - Berita Utama - 12/12/2008

KUANTAN 11 Dis. - Badan Pencegah Rasuah (BPR) Pahang menahan lima individu termasuk empat pegawai Jabatan Perhutanan Bera dan Temerloh yang dipercayai terlibat dalam sindiket pembalakan haram di negeri ini.

Pengarahnya, Sutinah Sutan berkata, tangkapan berasingan itu yang dilakukan antara pukul 7.15 petang hingga 10.40 malam semalam dibuat berdasarkan risikan pihaknya dengan kerjasama Bahagian Risikan Ibu Pejabat BPR sejak tiga bulan lalu.

Menurutnya, mereka yang ditangkap ialah seorang penolong pegawai Jabatan Perhutanan Daerah Bera berusia 30 tahun, seorang renjer hutan Temerloh berusia 42 tahun, dua pengawas hutan Temerloh masing-masing berusia 48 dan 49 tahun serta seorang kontraktor balak berusia 41 tahun.

''Berdasarkan siasatan awal, mereka bukan sahaja menerima rasuah wang tunai bernilai RM150,000, tetapi juga dalam bentuk suapan lain antaranya suapan keraian berupa karaoke, minuman keras, pil ekstasi dan kos baiki kereta," katanya kepada pemberita di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Hadir sama Penolong Pesuruhjaya BPR Ibu Pejabat (Bahagian Risikan), Abdul Aziz Aban.

Sutinah berkata, lima yang ditahan itu dipercayai menerima rasuah atas beberapa sebab antaranya membenarkan kontraktor terlibat menjalankan pembalakan haram di kawasan yang tidak dilesenkan dan untuk mengurangkan taksiran jumlah meter padu kayu yang dikeluarkan.

Dua lagi sebab kata beliau, adalah bagi mengurangkan cukai taksiran kayu serta membolehkan pegawai terlibat menjalankan kerja mengukur sempadan pembalakan yang sepatutnya dijalankan oleh juru ukur bertauliah.

''Semua mereka dihadapkan ke Mahkamah Temerloh hari ini bagi membolehkan polis mendapatkan perintah reman," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, pihaknya percaya akan dapat menahan antara 20 hingga 25 suspek lagi kerana kegiatan tersebut dipercayai didalangi satu sindiket yang dianggotai banyak pihak seperti pelesen balak, kontraktor balak, pemilik mesin balak, pembeli kayu balak, orang tengah serta pegawai dan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Temerloh dan Bera.

''Ini adalah kejayaan terbesar BPR Pahang bagi tahun ini kerana kita dapat menumpaskan satu sindiket pembalakan haram yang melibatkan banyak pihak.

''Saya juga percaya lebih ramai suspek akan ditangkap berdasarkan bukti-bukti kukuh yang telah kita kumpulkan," ujarnya.

Sutinah dalam pada itu berkata, kes itu tidak melibatkan ahli politik di negeri ini.

Tambah beliau, pembalakan haram itu juga hanya melibatkan satu lesen pembalakan yang dijalankan di kawasan seluas 120 hektar di daerah Temerloh dan Bera.

''Kes akan disiasat mengikut Seksyen 11 (A) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara mandatori 14 hari dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi," katanya.

Tebang balak boleh sebabkan krisis air - CAP

Utusan Malaysia - Dalam Negeri - 26/06/2008

PULAU PINANG 25 Jun - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menentang sekeras-kerasnya rancangan untuk menebang balak di kawasan tadahan air di hutan simpan di Kedah.

Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, pembalakan di kawasan Hutan Simpan Hulu Muda, Pedu, Padang Terap dan estet hutan kekal Bukit Keramat serta Bukit Saiong itu jika diteruskan akan menyebabkan krisis air.

"Penebangan di kawasan hutan itu bukan sahaja memberikan kesan kepada alam sekitar tetapi juga boleh menyebabkan krisis air di masa hadapan kerana ia merupakan kawasan tadahan air.

"Malah, kawasan itu juga merupakan ciptaan Allah dan apabila ia dijadikan tentu sekali kawasan itu mempunyai peranannya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas hasrat Kerajaan Negeri Kedah untuk menebang balak di kawasan tadahan air walaupun Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan persatuan pencinta alam meminta supaya perkara itu dikaji semula.

Keputusan Kerajaan Negeri Kedah yang mahu menebang balak di kawasan Hutan Simpan Hulu Muda, Pedu, Padang Terap dan estet hutan kekal Bukit Keramat serta Bukit Saiong menimbulkan kontroversi setelah menerima bantahan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri Pulau Pinang.

Ini kerana kawasan terbabit merupakan kawasan tadahan air bagi tiga empangan iaitu Pedu, Muda dan Ahning yang turut membekalkan air ke Perlis serta Pulau Pinang.

Pihak yang membantah khuatir aktiviti penebangan balak akan menjejaskan sumber bekalan air dan pertanian negeri itu.

Justeru beliau menyeru orang ramai untuk bersama-sama menentang pelaksanaan rancangan untuk menebang balak di kawasan tersebut demi kepentingan semua.