Wednesday, March 11, 2009

Bimbang kilang pasir cemari Loji Air Chinchin

Utusan Malaysia - Selatan - 3/1/2009

JASIN 2 Jan. – Penduduk Kampung Nyalas dan Chinchin di sini bakal berdepan dengan kemungkinan mendapat bekalan air tercemar daripada Loji Air Chinchin di sini apabila Sungai Chohong dan Nyalas dicemari sisa lumpur ekoran kerja-kerja melombong pasir yang dijalankan dekat kawasan itu.


Mimpi buruk penduduk di kawasan itu dijangka berlaku pada bila-bila masa jika pihak berkuasa tidak mengambil tindakan segera menghentikan operasi melombong pasir di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Gapis, Nyalas iaitu lokasi berhampiran dengan dua sungai tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia ke tapak operasi kilang pasir berkenaan mendapati kilang tersebut tidak menyediakan kolam memproses pasir bagi membolehkan sisa lumpur disalurkan ke dalam kolam itu.

Sebaliknya, sisa lumpur itu terus dibuang ke dalam sungai tersebut.

Sisa lumpur tersebut kemudian mengalir di sepanjang Sungai Chohong dan memasuki Sungai Nyalas yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari lokasi kilang berkenaan.

Beberapa penduduk yang ditemui mendakwa, kilang berkenaan telah beroperasi sejak enam bulan lalu dan mereka juga telah membuat laporan polis kerana bimbang dengan pencemaran sungai tersebut.

Salah seorang penduduk, Tan Sie Hong, 52, berkata, kilang terbabit bukan sahaja mencemarkan kualiti air sungai malah beroperasi tanpa permit kerana gagal memenuhi syarat peraturan alam sekitar yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

‘‘Saya diberitahu bahawa kilang itu sudah memohon permit melombong pasir di kawasan ini namun belum mendapat kelulusan pihak berkuasa kerana tidak menyediakan kolam takungan sisa pasir yang sepatutnya.

‘‘Ia termasuk menyediakan kolam membilas pasir bagi membolehkan sisa lumpur yang terhasil daripada proses bilasan pasir tidak dibuang ke dalam sungai tetapi sehingga hari ini, saya dapati mereka meneruskan sahaja operasi melombong biarpun tiada kebenaran pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sie Hong yang juga pemilik ladang kelapa sawit yang terletak bersebelahan dengan kilang pasir berkenaan mendakwa tindakan tersebut menyebabkan air Sungai Chohong menjadi keruh dan berlumpur.

‘‘Apa yang menyedihkan, kedua-dua sungai ini membekalkan air mentah ke Loji Air Nyalas yang menampung keperluan hampir sebahagian penduduk Jasin khususnya penduduk kampung di sekitarnya,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Ee Geok Yan, 35, berkata, dia meminta isu tersebut diselesaikan segera kerana ia bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan penduduk malah menyebabkan air pada kedua-dua sungai berkenaan tercemar.

‘‘Jika air sungai ini tercemar, sudah pasti ia turut menjejaskan kualiti air loji tersebut.

‘‘Perkara ini perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa yang terbabit kerana ia melibatkan tahap kesihatan penduduk di kawasan ini terutama mereka yang bergantung hidup pada bekalan air dari loji berkenaan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment