Wednesday, March 11, 2009

Tebang balak boleh sebabkan krisis air - CAP

Utusan Malaysia - Dalam Negeri - 26/06/2008

PULAU PINANG 25 Jun - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menentang sekeras-kerasnya rancangan untuk menebang balak di kawasan tadahan air di hutan simpan di Kedah.

Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, pembalakan di kawasan Hutan Simpan Hulu Muda, Pedu, Padang Terap dan estet hutan kekal Bukit Keramat serta Bukit Saiong itu jika diteruskan akan menyebabkan krisis air.

"Penebangan di kawasan hutan itu bukan sahaja memberikan kesan kepada alam sekitar tetapi juga boleh menyebabkan krisis air di masa hadapan kerana ia merupakan kawasan tadahan air.

"Malah, kawasan itu juga merupakan ciptaan Allah dan apabila ia dijadikan tentu sekali kawasan itu mempunyai peranannya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas hasrat Kerajaan Negeri Kedah untuk menebang balak di kawasan tadahan air walaupun Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan persatuan pencinta alam meminta supaya perkara itu dikaji semula.

Keputusan Kerajaan Negeri Kedah yang mahu menebang balak di kawasan Hutan Simpan Hulu Muda, Pedu, Padang Terap dan estet hutan kekal Bukit Keramat serta Bukit Saiong menimbulkan kontroversi setelah menerima bantahan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri Pulau Pinang.

Ini kerana kawasan terbabit merupakan kawasan tadahan air bagi tiga empangan iaitu Pedu, Muda dan Ahning yang turut membekalkan air ke Perlis serta Pulau Pinang.

Pihak yang membantah khuatir aktiviti penebangan balak akan menjejaskan sumber bekalan air dan pertanian negeri itu.

Justeru beliau menyeru orang ramai untuk bersama-sama menentang pelaksanaan rancangan untuk menebang balak di kawasan tersebut demi kepentingan semua.

No comments:

Post a Comment