Wednesday, March 11, 2009

Sungai Jarak dicemari najis babi

Utusan Malaysia - Utara - 7/11/2008

TASEK GELUGOR 6 Nov. - Sungai Jarak yang merentasi beberapa kampung di sekitar daerah ini, kini diancam pencemaran serius akibat pembuangan sisa kumbahan najis babi yang dipercayai datang dari ladang ternakan itu di Kampung Selamat di sini.

Antara kampung yang paling teruk terjejas berikutan pencemaran sungai itu ialah Kampung Air Melintas Besar, Pokok Machang, Tok Bedu, Pokok Tampang, Lahar Tambun dan Lahar Yooi.

Penduduk kampung mendakwa pengurusan najis ternakan yang tidak efektif di ladang berkenaan menjadi punca pencemaran itu apabila najis babi dibuang terus dalam sungai.

Akibatnya, bukan sahaja aliran sungai berkenaan di beberapa kampung menjadi hitam pekat dengan bau yang meloyakan, malah turut mengancam kesihatan penduduk.

Penduduk Kampung Air Melintas Besar, Musa Idris, 66, mendakwa tahap pencemaran di sungai berkenaan semakin membimbangkan kebelakangan selepas masalah itu berlarutan selama hampir 30 tahun.

''Kami bimbang masalah ini jika tidak dibendung akan mengakibatkan sungai tersebut terus mengalami pencemaran lebih teruk pada masa depan.

''Sekarang ini sudah ada penduduk terutamanya kanak-kanak yang mengalami gatal-gatal dan bintik-bintik kecil di badan apabila mandi di sungai," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Musa memberitahu, tompokan najis serta aliran air berwarna hitam boleh dilihat di sungai hampir setiap hari dan menyebabkan bau busuk sekali gus mengganggu keselesaan penduduk.

Yaakob Othman, 35, dari Kampung Air Melintas Kecil pula berkata, sungai tersebut pernah menjadi tempat rekreasi penduduk kampung untuk bermandi-manda tetapi kini tiada siapa lagi sanggup beriadah di sungai itu.

Malah, katanya, dulu pelbagai jenis ikan ada dalam sungai tersebut tetapi sekarang penduduk tempatan tidak berminat lagi untuk memancing ikan.

''Apa tidaknya, air sungai pun bukan sahaja tidak boleh dijadikan air minuman tetapi sudah berbau busuk dan tidak sesuai untuk bermandi-manda seperti sebelum ini," katanya.

Menurutnya, masalah tersebut sudah lama diajukan kepada pihak berkenaan tetapi sehingga kini tidak ada sebarang tindakan yang diambil.

Yaakob berkata, penternak haiwan tersebut sepatutnya menyediakan sistem pengurusan najis ternakan yang lebih efektif bagi memastikan pencemaran sungai berkenaan dapat dibendung.

No comments:

Post a Comment