Wednesday, March 11, 2009

Usaha selamatkan Hutan Temenggor

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
(WARTAWAN UTUSAN)

24/11/2008

DUA ekspedisi menjejak khazanah flora dan fauna yang dijalankan oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) di Hutan Belum-Temenggor pada 1993/1994 dan 1998, berjaya merekodkan pelbagai spesies unik yang sebahagian besarnya hanya boleh ditemui di hutan berusia 130 juta tahun itu.

Antaranya kira-kira 3,000 spesies tumbuhan berbunga yang sebahagian besarnya endemik iaitu hanya boleh ditemui di Hutan Belum-Temenggor, 46 spesies palma (15 spesies endemik), lebih 30 spesies halia serta pelbagai famili orkid hutan.

Turut direkodkan ialah lebih 1,000 spesies mamalia termasuk gajah ASEAN, harimau Malaysia, harimau kumbang, seladang, beruang matahari, badak sumbu Sumatera dan tapir Malaysia.

Hutan Belum-Temenggor seluas 320,000 hektar itu juga merupakan habitat kepada lebih 274 spesies burung menjadikannya hamparan hutan semula jadi terbesar yang menyimpan khazanah flora dan fauna unik negara.

Kesungguhan MNS memperkenalkan khazanah berharga negara yang tersimpan di Hutan Belum-Temenggor itu juga, berjaya mendapat kelulusan kerajaan Perak untuk mewartakannya sebagai Taman Negeri pada Mac 2000, diikuti pengiktirafan daripada Sultan Azlan Shah, yang memasyhurkannya sebagai Hutan Diraja Belum pada Ogos 2003.

Kerana kesungguhan MNS itu juga, pertubuhan yang kini berusia 68 tahun tersebut diberikan penghormatan yang cukup besar apabila terpilih sebagai penerima sulung Anugerah Merdeka bagi kategori Alam Sekitar daripada tiga syarikat gergasi minyak dan gas iaitu Petronas, Exxonmobil dan Shell. Majlis penyampaian Anugerah Merdeka akan berlangsung malam ini.

Tidak menganggap Anugerah Merdeka sebagai pencapaian peribadi, Pengarah Eksekutif MNS, Dr. Loh Chi Leong, sebaliknya berkata, adalah milik seluruh rakyat Malaysia yang bersama MNS berjuang mempertahankan khazanah alam sekitar milik negara, terutama Hutan Belum-Temenggor.

Anugerah berprestij itu juga tambah beliau, merupakan satu suntikan semangat buat MNS yang kini dalam usaha melindungi sebahagian lagi daripada kompleks Hutan Belum-Temenggor sehingga berjaya diwartakan sebagai hutan simpan.

Hakikatnya dalam Kompleks Hutan Belum-Temenggor, bahagian Hutan Temenggor yang dipisahkan dengan Hutan Belum oleh Lebuh Raya Timur-Barat adalah lebih luas iaitu mencakupi kawasan kira-kira 202,500 hektar.

Justeru, Hutan Temenggor memainkan peranan yang penting kepada aktiviti interaksi, migrasi dan hubungan di antara spesies flora dan fauna dalam jajaran kompleks hutan semula jadi Belum-Temenggor itu yang turut bersambungan sehingga ke banjaran hutan di Thailand.

Ketika ini, MNS sudah menggerakkan beberapa usaha penting bagi memastikan Hutan Temenggor mendapat perlindungan sewajarnya termasuk ekspedisi menjejak dan merekodkan spesies burung enggang atau Hornbill Malaysia.

Ekspedisi yang masih berjalan sehingga kini itu turut membabitkan penglibatan orang ramai termasuk pelajar-pelajar sekolah dan pihak swasta yang bersama-sama menjejak dan merekodkan spesies burung berkenaan.

''Penglibatan orang ramai itu menepati pendekatan MNS sendiri yang mahu menyemai kesedaran dan kecintaan terhadap alam sekitar dengan lebih dekat di kalangan rakyat Malaysia iaitu menerusi pengalaman yang dikutip sendiri," katanya.

Sesuatu yang menarik dalam ekspedisi menjejak burung enggang itu ialah Hutan Temenggor merupakan satu-satunya habitat yang boleh ditemui kesemua 10 spesies burung enggang yang terdapat di negara ini.

Malah, di Sarawak sendiri yang mengangkat burung enggang sebagai salah satu elemen keunikan negeri Bumi Kenyalang itu, hanya lapan spesies burung itu sahaja yang mendiami hutan di sana.

Menjadikan Hutan Temenggor sebagai habitat unik kepada spesies itu juga apabila ia merupakan satu-satunya hutan di dunia yang mana burung enggang dapat ditemui berterbangan dalam kumpulan yang besar.

Sepanjang ekspedisi yang dijalankan seperti yang diberitahu Chi Leong, MNS pernah melihat kawanan lebih 3,000 ekor burung enggang terbang dalam satu kumpulan yang sama bermigrasi antara Hutan Belum dan Hutan Temenggor.

Dalam ekspedisi menjejak burung enggang itu, antara maklumat utama yang dikumpulkan oleh MNS adalah kawasan-kawasan spesies burung itu membuat sarang, membiak dan mencari makan.

Antara penelitian penting yang direkodkan ialah lebih separuh daripada burung enggang itu bersarang dan membiak di bahagian Hutan Belum tetapi terbang mencari makan di bahagian Hutan Temenggor.

''Justeru, adalah sesuatu yang penting untuk Hutan Temenggor yang menjadi kawasan mencari makanan bagi spesies enggang itu dipelihara bagi memastikan survival spesies haiwan istimewa tersebut di negara ini," jelas Chi Leong.

Kepentingan migrasi haiwan antara Hutan Belum dan Hutan Temenggor itu juga menyebabkan MNS dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain bersatu menyuarakan kebimbangan terhadap rancangan projek pertanian seluas kira-kira tiga kilometer di kiri dan kanan Lebuh Raya Timur-Barat.

Kawasan hutan yang dikeluarkan daripada Kompleks Hutan Belum-Temenggor sebagai hutan kerajaan negeri itu akan dibangunkan dengan projek pertanian seperti tanaman kelapa sawit sekali gus memisahkan kedua-dua belah hutan dengan lebih jauh.

Justeru, MNS merayu supaya projek pertanian itu tidak diteruskan atau sekurang-kurangnya dibangunkan mengikut zon-zon tertentu yang masih membenarkan migrasi haiwan dengan mudah.

Meskipun kedua-dua hutan itu ketika ini sudah sedia terpisah oleh lebuh raya tersebut, namun migrasi beberapa spesies haiwan seperti gajah masih berlaku seperti yang dapat disaksikan oleh pengguna jalan raya.

''Malah, dari satu sudut, migrasi itu sebenarnya boleh menjadi tarikan pelancongan seperti di India misalnya, yang mana orang ramai boleh melihat haiwan seperti gajah melintasi jalan raya untuk bermigrasi secara langsung," katanya.

Dalam usaha sama, MNS juga turut bergabung dengan Pulau Banding Foundation bersama beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) berteraskan alam sekitar dan saintis di universiti dalam mencadangkan kepada kerajaan untuk tampil dengan satu pelan pengurusan bersepadu dalam menguruskan Hutan Temenggor.

Pelan pengurusan bersepadu itu antara lain bertujuan mengenal pasti kawasan yang boleh diguna untuk tujuan pembalakan dan kawasan sensitif alam sekitar yang sewajarnya dipelihara kerana kepentingannya kepada ekosistem.

Kawasan-kawasan itu termasuk paya air masin yang menjadi lokasi tumpuan kebanyakan spesies haiwan sebagai sumber garam dan mineral semula jadi, selain kawasan yang dilihat berpotensi untuk dibangunkan sebagai tapak pelancongan eko.

Seperkara yang turut ditekankan dalam pelan pengurusan bersepadu itu ialah kepentingan menjalankan aktiviti pembalakan secara mampan iaitu dengan jaminan perlindungan sepenuhnya terhadap alam sekitar.

Tidak menafikan aktiviti pembalakan merupakan salah satu cabang ekonomi penting kepada pembangunan negara, namun ia perlu dijalankan dengan penuh rasa tanggungjawab dan meletakkan kepentingan alam sekitar di kedudukan paling atas yang perlu diberi perhatian.

Ini kerana apa yang diperhatikan ketika ini, aktiviti pembalakan di Hutan Temenggor dijalankan dengan mengabaikan perlindungan alam sekitar antaranya dilakukan dalam lingkungan 100 meter dari sungai.

Malah, terdapat juga aktiviti pembalakan haram yang sangat hampir dengan sungai serta di kawasan lereng bukit menyebabkan berlakunya mendapan dan pencemaran sungai sekali gus mengancam spesies ikan yang dilindungi seperti kelah dan sebagainya.

Ketika ditanya apakah yang bakal dilakukan dengan hadiah kemenangan wang tunai berjumlah RM500,000, Chi Leong berkata, ia satu suntikan modal yang cukup besar buat MNS dalam menggerakkan aktiviti, program dan kempen mengenai kesedaran alam sekitar.

Antaranya ialah memperluaskan aktiviti kelab pencinta alam di sekolah serta pusat pendidikan alam sekitar di seluruh negara selain projek perlindungan biodiversiti dan tanah lembap di Malaysia yang dijalankan dengan kerjasama kerajaan.

''Lebih utama, peruntukkan itu akan digunakan khusus untuk Hutan Temenggor terutamanya dalam membawa orang ramai melihat sendiri keunikan dan keindahan hutan itu untuk dicintai oleh setiap rakyat Malaysia," tambah beliau.

No comments:

Post a Comment