Wednesday, March 11, 2009

Pembalakan haram: 4 kakitangan jabatan hutan ditahan BPR

Utusan Malaysia - Berita Utama - 12/12/2008

KUANTAN 11 Dis. - Badan Pencegah Rasuah (BPR) Pahang menahan lima individu termasuk empat pegawai Jabatan Perhutanan Bera dan Temerloh yang dipercayai terlibat dalam sindiket pembalakan haram di negeri ini.

Pengarahnya, Sutinah Sutan berkata, tangkapan berasingan itu yang dilakukan antara pukul 7.15 petang hingga 10.40 malam semalam dibuat berdasarkan risikan pihaknya dengan kerjasama Bahagian Risikan Ibu Pejabat BPR sejak tiga bulan lalu.

Menurutnya, mereka yang ditangkap ialah seorang penolong pegawai Jabatan Perhutanan Daerah Bera berusia 30 tahun, seorang renjer hutan Temerloh berusia 42 tahun, dua pengawas hutan Temerloh masing-masing berusia 48 dan 49 tahun serta seorang kontraktor balak berusia 41 tahun.

''Berdasarkan siasatan awal, mereka bukan sahaja menerima rasuah wang tunai bernilai RM150,000, tetapi juga dalam bentuk suapan lain antaranya suapan keraian berupa karaoke, minuman keras, pil ekstasi dan kos baiki kereta," katanya kepada pemberita di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Hadir sama Penolong Pesuruhjaya BPR Ibu Pejabat (Bahagian Risikan), Abdul Aziz Aban.

Sutinah berkata, lima yang ditahan itu dipercayai menerima rasuah atas beberapa sebab antaranya membenarkan kontraktor terlibat menjalankan pembalakan haram di kawasan yang tidak dilesenkan dan untuk mengurangkan taksiran jumlah meter padu kayu yang dikeluarkan.

Dua lagi sebab kata beliau, adalah bagi mengurangkan cukai taksiran kayu serta membolehkan pegawai terlibat menjalankan kerja mengukur sempadan pembalakan yang sepatutnya dijalankan oleh juru ukur bertauliah.

''Semua mereka dihadapkan ke Mahkamah Temerloh hari ini bagi membolehkan polis mendapatkan perintah reman," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, pihaknya percaya akan dapat menahan antara 20 hingga 25 suspek lagi kerana kegiatan tersebut dipercayai didalangi satu sindiket yang dianggotai banyak pihak seperti pelesen balak, kontraktor balak, pemilik mesin balak, pembeli kayu balak, orang tengah serta pegawai dan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Temerloh dan Bera.

''Ini adalah kejayaan terbesar BPR Pahang bagi tahun ini kerana kita dapat menumpaskan satu sindiket pembalakan haram yang melibatkan banyak pihak.

''Saya juga percaya lebih ramai suspek akan ditangkap berdasarkan bukti-bukti kukuh yang telah kita kumpulkan," ujarnya.

Sutinah dalam pada itu berkata, kes itu tidak melibatkan ahli politik di negeri ini.

Tambah beliau, pembalakan haram itu juga hanya melibatkan satu lesen pembalakan yang dijalankan di kawasan seluas 120 hektar di daerah Temerloh dan Bera.

''Kes akan disiasat mengikut Seksyen 11 (A) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara mandatori 14 hari dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi," katanya.

No comments:

Post a Comment